Mempertahankan setiap percintaan menjadi tanggungjawab pasangan setelah mempunyai insan disayangi. Bagi yang mempunyai fahaman kukuh, percintaan bukanlah satu permainan yang boleh bermula dan berakhir sesuka hati.

Bagi mempertahankan sebuah percintaan, jangan sesekali melakukan perkara yang tidak sepatutnya.

Anda perlu jujur dan tidak perlu berpura-pura dalam meneruskan kelangsungan dalam percintaan yang sudah ditakdirkan buat anda berdua.

Kejujuran menjadi tunggak dalam perhubungan dan anda bertanggungjawab menjadikan jalinan itu terus kukuh bagaikan tugu ampuh selamanya.

Tunjukkan sifat sebenar anda dan percayalah orang yang mencintai anda akan sentiasa menerima anda seadanya jika kesetiaan adalah sandarannya.

Selain itu, bagi mempertahankan sebuah percintaan, elakkan daripada melakukan perkara berikut kerana ia boleh menggoyahkan hubungan yang sudah bertahun terbina atau yang baru saja bermula

Melirik kepada jejaka atau gadis lain

Tidak dinafikan cinta bukannya penghalang untuk anda meluaskan pergaulan, tetapi harus ada batasannya. Mata biasanya cepat saja melirik jejaka atau gadis lain yang lalu di depan mata walaupun anda tidak berniat lebih daripada itu.

Sekadar mencuci mata namun ia juga boleh membawa kepada kecurangan jika anda tidak membendung sebaiknya. Mungkin bermula dengan menjeling, kemudian berkawan dan tidak mustahil anda akan jatuh hati padanya.

Hargailah setiap yang ada di hadapan mata kerana banyak kes berlaku, kekesalan adalah penghujung kepada sebuah perhubungan apabila anda cuba menguji kehebatan diri, tetapi akhirnya membawa padah.

Tidak perlu menjeling pada yang lain selagi yang ada di hadapan mata sudah cukup sempurna di mata anda.

Bersikap hipokrit


Anda tidak seharusnya berpura-pura tekun ketika mendengar dia berbicara mengenai perkara yang tidak disukai. Jangan paksa diri berhadapan dengan semua perkara ini kerana apa yang dikatakan sebenarnya langsung tidak singgah di otak anda.

Hipokrit namanya membiarkan si dia tahu apa yang anda tidak suka supaya si dia tidak mengulangi perkara sama. Namun, tegur secara baik dan berhemah, tetapi jangan sampai membuatkan dia tersinggung dengan kritikan anda.

Bercinta kerana simpati dan kasihan

Anda tidak akan menjadi penyelamat jika memaksa diri menerima cinta si dia.

Perasaan ikhlas dan jujur itu tidak akan wujud dalam diri seandainya simpati menjadi sebab anda sudi bertaut cinta dengan si dia.

Jangan terlalu mudah jatuh cinta hanya kerana kasihankan si dia yang terlalu mengharapkan anda.

Pastikan anda menerimanya kerana keistimewaan yang dia miliki.

Andainya tiada langsung rasa cinta dalam diri padanya, lebih baik berterus-terang.

Si dia lebih kecewa jika tahu anda sebenarnya tidak mencintainya seperti mana dia mencintai anda. Cinta tiada paksaan, semua orang berhak membuat pilihan sendiri mengikut naluri masing-masing.

Sanggup menyerah kalah

Anda sanggup menyerah kalah ketika berlawan badminton dengannya semata-mata mahu menjaga hatinya. Jangan takut, tidak salah bersaing dan tidak perlu berpura-pura. Hubungan dengan si dia akan menjadi lebih ceria andainya ada persaingan sihat.

Namun, persaingan mestilah ke arah positif, jangan sehingga menjejaskan hubungan anda dan si dia hanya kerana terlalu serius bersaing.

Terima semua kesalahan

Jangan diam saja andai si dia melakukan sesuatu perkara yang tidak disukai.

Bukan satu kesilapan andainya anda menegur perbuatannya yang 'kurang' itu supaya si dia menyedari dan sanggup berubah demi kebaikan.

Dia mungkin sedikit tersinggung dengan teguran itu namun berterus-terang itu perlu untuk kebaikan berdua.

Harus sentiasa bersama

Orang bercinta kebiasaannya mahu berdua setiap masa. Namun, ini tidak bererti teman anda harus disingkirkan semata-mata sudah menemui cinta.

Apa salahnya masukkan sekali si dia dalam kelompok teman anda supaya si dia boleh membiasakan dirinya.

Ada masanya memang anda perlukan masa untuk berdua, tetapi janganlah asyik berdua saja kerana ia mungkin boleh menimbulkan rasa bosan.

Rapat dengan sahabat karib si dia


Sememangnya perlu bergaul dengan orang yang rapat dengan si dia supaya apabila anda tidak mempunyai masalah bergaul bersama si dia dan temannya.

Namun, hati-hati supaya tidak terlalu akrab terutama dengan sahabat karib si dia.

Ini boleh menimbulkan pelbagai rasa sangsi atau lebih teruk jika temannya jatuh cinta padamu.

Berpura-pura tidak cemburu

Anda harus dapat membezakan antara sikap percaya dan berdiam diri apabila melihat si dia asyik berbicara dengan jejaka atau gadis lain.

Cemburu itu perlu ditunjukkan andainya ia keterlaluan supaya si dia sentiasa menghormati anda dalam apa jua keadaan. Apabila melihat si dia terlalu asyik berbual dengan jejaka atau gadis lain, tegur si dia dengan cara terbaik.

Biar si dia tahu perasaan anda ketika itu. Tidak perlu sorokkan perasaan semata-mata mahu menunjukkan sikap terbuka sedangkan anda sakit hati melihat kemesraannya bersama orang lain.

Terlalu menerima sikap si dia

Setiap orang memiliki kelebihan dan keburukan tersendiri. Namun itu bukan alasan untuk anda menerima semua keburukannya.

Manusia boleh berubah andainya ada kemahuan. Jangan hanya kerana terlalu menyayangi dirinya, anda pejam mata melihat si dia melakukan perkara menyakitkan hati.

Biarkan si dia saja membayar


Sesekali apa kata anda cuba bergilir-gilir membayar setiap kali makan atau minum. Perempuan adakalanya terlalu berkira soal belanja dengan lelaki walaupun kekasihnya sendiri.

Sikap ini tidak sepatutnya berlaku kerana dalam sesuatu hubungan, perlu ada tolak ansur antara satu sama lain, barulah hubungan berjalan dengan baik tanpa sebarang masalah. Tetapi bagi lelaki, jangan pula rasa tercabar dan jangan pula ada yang mengambil kesempatan.




Related Posts by Categories



0 comments:

Post a Comment