"Datang tempat orang bawak otak bukan pisau"

05 September 2009

‘‘MALAYSIA itu memang pencuri dan kurang ajar,” begitulah kenyataan kasar yang berkumandang di stesen televisyen tempatan Indonesia dan diulang berkali-kali.

Kenyataan itu keluar daripada mulut seorang wakil rakyat Bali yang mengecam promosi pelancongan Malaysia di Discovery Channel yang memuatkan Tarian Pendet yang merupakan tarian penganut agama Hindu di Bali.

Mungkin perkataan pencuri dan kurang ajar itu adalah perkara biasa diucapkan oleh penduduk Indonesia khususnya di Bali, tetapi bagi rakyat Malaysia ia satu kata-kata yang sangat kesat.

Menteri Pelancongan Indonesia, Jerowacik pula menyatakan akan menyaman Malaysia kerana menggunakan Tarian Pendet di dalam promosi pelancongan.

Menurut Jerowacik, Indonesia merupakan negara yang kaya dengan kebudayaan, oleh sebab itulah Malaysia yang miskin kebudayaan sering mencuri daripada Indonesia.

Sesungguhnya kenyataan yang begitu kasar itu cukup mengejutkan penulis dan tidak seharusnya keluar daripada pemimpin mana-mana negara, apatah lagi membuat tuduhan terhadap negara tetangga.

Seingat penulis, tidak pernah pihak berkuasa atau pemimpin di Malaysia menggunakan kata-kata kesat sedemikian ketika mengulas sebarang masalah berkait dengan negara tetangga. Walaupun telah nyata kehadiran warganegara asing berkenaan menjadi punca meningkatnya kejadian jenayah rogol, bunuh, pecah rumah dan sebagainya.

Seperti biasa Malaysia walaupun dituduh sebagai pencuri, kurang ajar dan sombong, tetap merendah diri serta bertanggungjawab apabila Kuasa Usaha Sementara Kedutaan Besar Malaysia di Indonesia, Amran Mohammed Zin menyatakan permohonan maaf di atas kesilapan itu ketika dipanggil mengadap Jerowacik. Promo itu juga akan digantikan dengan yang baru, walaupun kerajaan tidak terlibat langsung dalam penerbitannya.

Jerowacik juga telah menghantar surat kepada Malaysia bagi mendapatkan penjelasan lanjut berhubung dengan kesilapan itu.

Tidak cukup itu di dalam program kuliah sempena Ramadan yang disiarkan oleh sebuah stesen tempatan, seorang ustaz juga terbawa-bawa dengan isu murahan tersebut apabila turut melabelkan Malaysia sebagai pencuri kerana kes yang sama.

Begitulah Indonesia, mereka akan membuat tuduhan melulu, tanpa usul periksa dan apabila mendapati tersilap, mereka mendiamkan diri dengan tidak berasa bersalah walaupun sekelumit.

Ternyata itu bukan promosi pelancongan oleh kerajaan Malaysia, tetapi merupakan sebuah program yang diterbitkan oleh pihak swasta iaitu penerbitan KRU yang merupakan milik Norman KRU dan kemudiannya dijual kepada Discovery Channel.

Norman sendiri telah memberi penjelasan program tersebut dihasilkan oleh syarikat penerbitannya tanpa melibatkan kerajaan Malaysia dan promo yang digunakan pula dihasilkan oleh Discovery Channel.

Norman memberitahu sebuah stesen tempatan Indonesia bahawa dia hanya menjual program kepada Discovery Channel dan tidak terlibat dalam menyediakan promo. Kesilapan adalah berpunca daripada penerbit yang tidak meneliti terlebih dahulu isi kandungan program termasuk promo yang dibuat.

Sebagai rakyat Malaysia penulis sendiri tidak pernah mengetahui tentang Tarian Pendet yang merupakan upacara penganut agama Hindu di Bali iaitu destinasi yang menjadi tumpuan rakyat Malaysia bercuti. Tarian itu kemudiannya diubah suai menjadi tarian menyambut tetamu.

Kini persoalannya di mana kerajaan Indonesia mahu kaitkan penglibatan kerajaan Malaysia dalam menyediakan program tersebut.

Pepatah Melayu ada mengingatkan ‘terlajak perahu boleh diundur, terlajak kata buruk padahnya’. Kini selepas tuduhan sedemikian pastinya tidak akan ada pihak Indonesia yang akan memohon maaf kepada Malaysia walaupun kenyataan mereka melukakan hati rakyat Malaysia.

Ini bukan pertama kali pemimpin Indonesia membuat tuduhan melulu. Sebelum ini mereka menuduh Malaysia mencuri kebudayaan Indonesia apabila turut mempersembahkan Tarian Barongsai.

Malaysia juga dituduh mencuri masakan rendang serta masakan Padang dan dijadikan sebahagian daripada makanan tradisional Malaysia. Bahkan Malaysia juga dituduh pencuri kerana mempromosi batik yang berasal dari Pulau Jawa dan alat muzik Angklong.

Penulis masih ingat ketika Menteri Pertahanan, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi mengadakan lawatan ke Indonesia, beliau juga ditanya tentang perkara itu.

Jawapan Zahid mudah: “Apakah saudara semua sanggup menuduh, saudara mara anda di Malaysia sebagai pencuri?”

Penjelasan Zahid yang berketurunan Jawa dari Yogyakarta dan boleh berbahasa Jawa halus itu memang tepat sekali.

Budaya itu dibawa oleh kaum Jawa dan kaum dari Padang bersama-sama mereka ketika berhijrah ke Malaysia kerana ia telah menjadi sebahagian daripada kehidupan mereka dan merekalah yang mengamalkan kebudayaan tersebut.

Oleh itu kebudayaan Malaysia dan Indonesia hampir sama, tetapi sesuai dengan peredaran masa ia telah diubah mengikut selera semasa.

Kini rakyat Malaysia pastinya menunggu apakah ada permohonan maaf daripada Jerowacik yang membuat tuduhan melulu terhadap Malaysia, atau seperti biasa yang diamalkan iaitu budaya ‘lempar batu sembunyi tangan’.

sumber rujukan- UTUSAN MALAYSIA
dipetik dari blog : http://myadha.blogspot.com/2009/08/malaysia-dituduh-pencuri-dan-kurang.html



Related Posts by Categories



0 comments:

Post a Comment